Sabtu, 6 Februari 2010

AMALAN SEBELUM TIDUR - WASIAT RASULULLAH S.A.W UNTUK WANITA

Diceritakan pada suatu hari Fatimah mengeluh kepada alat penggiling rotinya dan menyampaikan hasratnya ingin seorang pembantu. Lalu Rasulullah S.A.W berkata kepada anaknya; Ketahuilah akan ku ajarkan kepada mu sesuatu yang lebih baik daripada sesuatu yang engkau minta daripadaku. Apabila engkau hendak tidur, maka bertakbirlah 34x, bertasbihlah sebanyak 33x dan bertahmidlah sebanyak 33x, maka itu adalah lebih baik dari seorang pembantu rumah.
Wahai saudariku kaum muslimah, Inilah wasiat Nabi S.A.W kepada puterinya yang suci, pemuka para wanita penghuni syurga. Maka marilah kita ambil pengajaran ini untuk dimanfaatkan pada kehidupan kita dunia dan akhirat.

Fatimah merasa sangat letih kerana banyak pekerjaan yang dilakukannya. Tentu anda tertanya-tanya apa gunanya zikir itu sedangkan sekiranya alangkah lebih baik baginda memberi seorang pembantu yang kebetulannya ada tawanan yang menawarkan diri untuk berkhidmat dengan sukarela.
Tahukah kamu dengan membuat kerja iaitu menanggung segala bebanan keluarga dengan hati yang ikhlas lagi redha adalah sebaik-baiknya perbuatan dan akan dibalas dengan kebaikan di akhirat kelak.

Dalam wasiat ini Rasulullah S.A.W berpesan kepada puterinya bahawa dengan zikir itu akan menghilangkan rasa keletihan, kesulitan dapat ditanggung dengan kesabaran dan yang lebih penting lagi mengharapkan pahala.
Telah kita ketahui bahawa berbanyakkan berzikir itu dapat mensucikan jiwa dan hati. Untuk mencapai kejayaan hati yang ihlas dan murni ini Rasulullah S.A.W berwasiatkan kepada semua wanita agar kita mendapat kebaikan dari berzikir itu.
Lihatlah betapa agungnya zikir itu digantikan dengan seorang pembantu, kerana pada zahirnya zikir itu memberikan kita kekuatan untuk menghadapi segala dugaan hidup.

Begitulah wahai saudariku kaum muslimah, wasiat Nabi S.A.W yang disampaikan kepada salah seorang pemimpin Syurga, Fatimah, iaitu berupa kesabaran yang baik. Perhatikanlah, bagaimana seorang puteri Nabi dan isteri kepada sahabat yang mulia harus menggiling, membuat adunan roti dan melaksanakan pekerjaan rumahtangganya.

Mengapa kita tidak menirunya?

BANYAK BERZIKIR HATI TENTERAM

Pengertian zikir adalah mengingat Allah atau menyebut Allah. Jika seandainya kita selalu berzikir, sudah tentu kita selalu menyebut dan mengingati Allah.


Ketahuilah bahawa dalam Al-Quran banyak ayat yang menganjurkan supaya sentiasa berzikir kepada Allah seperti tertera dalam surah Al-Baqarah ayat 152 yang membawa maksud "Maka berzikirlah kamu akan Aku supaya Aku menyebut akan kamu dan syukurilah olehmu akan Aku dan jangan kamu ingkari akan (nikmat Ku)"
Dalam surah Al- Anfaaal ayat 45 turut membawa maksud: "Ucapkanlah olehmu akan Allah dengan sebutan yang banyak supaya kamu beroleh kemenangan" Juga dinyatakan dalam surah Ar-Ra'du ayat 28 yang membawa maksud: "Orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan zikrullah. Ingatlah hanya dengan mengingati Allah, hati menjadi tenteram"

Manakala Rasulullah pula bersabda: "Tidak duduk satu jamaah mengucapkan zikrullah, melainkan (di tempat itu) sudah dikelilingi malaikat yang dipenuhi rahmat dan diturunkan kepada mereka sakinah atau ketenangan hati".

Perlu diketahui pula jika sesaorang yang tidak pernah berfikir dan mengingati Allah, maka Allah akan menurunkan syaitan sebagai teman dalam hidupnya. Allah berfirman dalam Al-Quran surah Al-Araf ayat 204 bermaksud: "Barang siapa yang berpaling akan zikir kepada Allah, maka kami turunkan kepadanya syaitan yang terus menerus menjadi kawan seiring baginya".

Dengan demikian bertapa hikmah daripada zikir itu, disamping mendapat pahala daripada Allah. Bagi yang membaca hatinya akan menjadi tenteram dan penuh sakinah dalam kehidupannya.

CINTAKAN DUNIA

Orang yang diberikan nikmat dunia sering menjadi lalai dan leka sehingga hati mereka terikat kepada kenikmatan dunia dan cintakan dunia. Cinta dunia atau hubbu al-Dunya bermaksud perasaan hati yang sentiasa terikat dengan dunia sehingga urusan berkaitan dengan memalingkan mereka dari Allah swt dan kewajipan terhadapnya

Rasulullah s.a.w menerangkan betapa sikap cinta dunia ini amat merbahaya dalam hadisnya;

قال رسول الله -صلى الله عليه وسلم- : «يوشكُ الأُمَمُ أنْ تَدَاعَى عليكم كما تَدَاعَى الأَكَلةُ إلى قَصْعَتِها، فقال قائل : من قِلَّة نحن يومئذ ؟ قال : بل أنتم يومئذ كثير، ولكنَّكم غُثاء كَغُثَاءِ السَّيْلِ، ولَيَنْزِعَنَّ الله مِنْ صدور عدوِّكم المهابةَ منكم، وليقذفنَّ في قُلُوبكم الوَهْنَ، قيل : وما الوْهنُ يا رسول الله ؟ قال : حُبُّ الدُّنيا، وكراهيَةُ الموتِ» أخرجه أبو داود
Maksudnya; Akan datang masa di mana kamu direbut oleh bangsa-bangsa lain sebagaimana orang-orang berebut melahap makanan dari bekasnya." Para sahabat bertanya, "Apakah kerana ketika itu kami sedikit Wahai Rasulallah?" Rasulullah bersabda, "Tidak, bahkan ketika itu sangat ramai tetapi seperti buih di lautan kerana kamu tertimpa penyakit 'wahn'." Sahabat bertanya, "Apakah penyakit "wahn" itu ya Rasulallah?" Beliau menjawab, "Penyakit "wahn" itu adalah terlalu cinta dunia dan takut mati.
Orang Islam yang cintakan dunia menjadikan mereka manusia yang paling hina, lemah dan tidak mempunyai kekuatan sehingga Allah swt mencabut rasa gerun dan takut dihati musuh terhadap orang-orang Islam.

Apa yang dimaksud dengan dunia? Firman Allah swt;
اعْلَمُوا أَنَّمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَزِينَةٌ وَتَفَاخُرٌ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌ فِي الْأَمْوَالِ وَالْأَوْلَادِ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ الْكُفَّارَ نَبَاتُهُ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَاهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَكُونُ حُطَامًا وَفِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ شَدِيدٌ وَمَغْفِرَةٌ مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانٌ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُور

Maksudnya; Ketahuilah, bahawa Sesungguhnya kehidupan dunia Ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah- megah diantara kamu serta berbangga-bangga tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang menyuburkan tanam-tanaman mereka oleh petani; Kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning Kemudian menjadi hancur. dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keredhaan-Nya. dan kehidupan dunia Ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu. (Q.S. Al-Hadiid [57]:20)

Cintakan dunia menjadi punca kepada semua masalah dalam masyarakat. Sabda Rasulullah saw;

حب الدنيا رأس كل خطيئة

Maksudnya; Cintakan dunia punca segala kesalahan dan kejahatan.
Semua yang ada di langit dan di bumi adalah pinjaman Allah semata. Kita tidak mempunyai apa-apa. Hidup di dunia hanya sebentar saja. Terlahir sebagai bayi, membesar sebentar, semakin tua, dan akhirnya mati. Kemudian terlahir manusia berikutnya, begitu seterusnya.

Bagi orang-orang yang telah sampai pada keyakinan bahawa semuanya pinjaman Allah, ia tidak akan pernah sombong, meninggi diri ataupun dengki. Sebaliknya, ia akan selalu bersedia pinjaman diambil oleh Pemiliknya, kerana segala sesuatu dalam kehidupan dunia ini tidak ada ertinya. Harta, gelaran, pangkat, jabatan, dan populariti tidak akan ada ertinya jika tidak digunakan di jalan Allah.

Justeru jangan lah sampai hati kita cintakan dunia dan terikat dengannya kerana dunia tiada nilai disisi Allah kecuali jika dikaitkan dengan iman dan taqwa;

Sabda Rasulullah saw;

وَلَوْ كَانَتِ الدُّنْيَا تَزِنُ عِنْدَ اللهِ جَنَاحَ بَعُوضَةٍ مَا أَعْطَى كَافِرًا مِنْهَا شَرْبَةً مِنْ مَاءٍ.
Maksudnya; Sekiranya dunia ini bernilai disisi Allah dengan seberat sayap lalat, nescaya Allah tidak memberikan orang kafir walau seteguk air.

قال رسول الله صَلَّى الله عَلَيه وسَلَّم : من أحب دنياه أضر بآخرته ومن أحب آخرته أضر بدنياه فآثروا ما يبقى على ما يفنى.

Maksudnya; Sesiapa yang mencintai dunia, ia akan memudharakkan akhiratnya, dan sesiapa yang mencintai akhiratnya maka ia akan memudharatkan dunianya, maka utamakan akhirat yang kekal daripada dunia yang akan binasa.

Sabda Rasulullah saw;

الدنيا ملعونة ملعون ما فيها إلا ما كان فيها لله عز وجل

Maksudnya; Dunia itu dilaknat dan dilaknat juga barang yang ada didalamnya kecuali perkara-perkara yang dibuat kerana Allah swt.

Marilah kita berdoa kepada Allah agar diselamatkan dari ujian nikmat dunia dan kita tidak menjadi hamba dunia sebaliknya menjadi hamba Allah yang sentiasa tunduk dan patuh kepada Allah swt;

اللهم لا تجعل الدنيا أكبر همنا ولا مبلغ علمنا