Ahad, 17 Januari 2010

Hati Yang Sejahtera

Hati yang merajai dan memimpin anggota manusia terbahagi kepada tiga jenis;Hati yang sejahtera ( qalbun salim ), Hati yang sakit ( qalbun saqim) dan hati yang mati ( qalbun mayyit )

Hati yang sejahtera ( qalbun salim )

Firman Allah swt;
(يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ (88) إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ (89) [الشعراء: 88، 89].

Maksudnya; Pada hari itu harta dan anak-anak tidak berguna, kecuali mereka yang dating kepada Allah dengan hati yang sejahtera.

Hati yang baik di dalam ayat di atas bermaksud orang yang meninggal dunia dengan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah swt, akhir kehidupannya dapat mengucap kalimah syahadah, kehidupan mereka di akhirat nanti akan mendapat kebahagiaan dan keredhaan Allah swt. Itulah kesudahan bagi mereka yang memiliki hati yang baik ( qalbun salim ). Ya Allah anugerahkanlah kami hati yang sejahtera, hati yang baik yang dapat memimpin kami ke jalan yang yang Engkau radhai.

Antara ciri-ciri hati yang sejahtera;
  • Sentiasa mengingati Allah swt dalam apa jua keadaan, ketika berdiri, duduk mahupun ketika berbaring, lidahnya sentiasa basah mengingati Allah swt.
  • Sentiasa membaca al-Quran dan mentadabburkan makna-maknanya.
  • Sentiasa peka dengan kewajipan-kewajipan yang ditaklifkan serta menunaikannya dengan cara yang paling sempurna.
  • Sentiasa berhati-hati terhadap larangan-larangan agama dan menjauhkannya.
  • Sentiasa bermuhasabah diri dan segera bertaubat kepada Allah swt.
  • Berperibadi dengan akhlak yang mulia.
  • Sentiasa berbaik sangka dan menjauhkan dari berburuk sangka, hasad dengki dan semua sifat-sifat mazmumah dalam hati.
  • Sentiasa bersyukur kepada Allah swt dan redha dengan ketetapan ilahi.

Mengenali Hati

Hati memainkan peranan yang amat penting dalam kehidupan manusia. Dengan hati manuisa dapat hidup dengan erti kata yang sebenarnya dan tanpa hati atau hati yang mati, hidup seseorang tidak bererti.

Hati dalam kehidupan manusia terbahagi kepada dua. Kedua-duanya merupakan elemen penting dalam kehidupan manuisa.

Pertama; hati jasmani yang menjadi organ penting dalam tubuh manusia,ikenali juga sebagai "liver", hati yang berperanan sebagai penapis darah, menghasilkan hempedu dan berbagai macam fungsi untuk memastikan keseimbangan badan manusia supaya sentiasa sihat. Sekiranya hati ini gagal berfungsi maka berbagai komplikasi kesihatan akan terjadi dalam tubuh manusia.

Kedua hati rohani atau dikelani sebagai fuad, af'idah, basirah, lub, albab ,mata hati. Hati yang tidak dapat dirasa dengan panca indera tetapi menjadi peneraju dan pemandu kepada kehidupan manusia. Sering juga dipanggil hati nurani. Berkaitan hati ini, Rasulullah saw bersabda diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim;

أَلاَ وَإِنَّ فِى الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ ،وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلاَ وَهِىَ الْقَلْبُ

"Dalam diri manusia itu terdapat seketul daging. Apabila daging yang seketul itu baik maka akan baiklah seluruh tubuh badannya. Dan apabila rosak daging yang seketul akan rosaklah tubuh badannya. Dan daging yang seketul itu ialah hati."
Dalam usrah kali ini kita akan membincangkan hati dari sudut bahagian kedua iaitu hati dengan makna hati rohani atau hati nurani kerana perbincangan hati dari aspek makna jasmani menjadi perbincangan para doktor perubatan.

Rasulullah saw dalam hadis di atas menjelaskan fungsi kedua-dua hati yang telah kita ketahui, samada hati jasmani yang berupa seketul daging, mahupun hati rohani yang mengawal segala tindakan manusia. Begitulah hebatnya Rasulullah saw dalam menerangkan hakikat kejadian manusia berasaskan wahyu Allah swt dan hakikat kejadian hati ini telah terbukti oleh penyelidikan sains hari ini. Ini adalah tanda kebesaran Allah swt, bukti bahawa segala yang dibawa oleh Rasulullah saw adalah satu kebenaran. Justeru amat rugilah mereka-mereka yang menolak wahyu dan pertunjuk Allah swt.


Hati dalam diri manusia adalah raja yang menentukan tingkah laku dan perbuatan manusia. Hati merupakan penggubal dasar dan prinsip kehidupan yang akan dilalui oleh seseorang manusia. Hati berperanan sebagai pembuat keputusan apabila manusia perlu membuat keputusan dalam sesuatu perkara.
Terlalu besar peranan hati dalam kehidupan manusia sehingga Rasulullah saw menyatakan "apabila hati itu baik maka baiklah segala anggotanya dan apabila hati itu rosak maka rosaklah segala anggota manusia.

Hakikat ini memang benar, kerana hati yang baik, akan dipenuhi dengan iman dan taqwa, apabila hati dipenuhi dengan keimanan dan ketaqwaan yang mantap, maka ia akan memandu seluruh anggota untuk melakukan perkara-perkara yang baik dan diredhai Allah, apabila hati itu baik, ia akan dipenuhi dengan segala macam sifat mahmudah, yang akan dijelmakan dalam berbagai bentuk akhlak yang mulia.

Sebab itulah orang yang hatinya baik akan sentiasa melakukan solat, khusuk dalam solatnya dan solatnya dapat menghindarkan diri dari segala macam dosa dan maksiat, hatinya akan sentiasa mendorong pemiliknya untuk bersifat dengan sabar, lemah lembut, penyayang, pemurah dan berbagai-bagai budi pekerti yang mulia.

Orang yang hatinya baik tidak kebaratan untuk bersedekah dan mengeluarkan zakat bahkan hatinya rasa tenang dan gembira apabila bersedekah dan berzakat.

Orang yang hatinya baik tidak akan melakukan rasuah, tidak akan menipu, tidak akan melakukan khianat, tidak akan berbohong dan tidak akan melakukan berbagai perbuatan tidak bermoral kerana takut dengan muraqabah Allah dan siksaan yang dijanjikan di akhirat nanti, disamping menyedari ia akan menyebabkan malapetaka dan kerosakan kepada umat manusia.

Orang yang hatinya baik, akan sentiasa menghormati orang lain, menghormati jiran tetangga, walaupun jiran bukan islam , kerana mereka tahu ia adalah tuntutan agama.

Ringkasnya orang yang hatinya baik itu ialah orang yang hatinya dipandu oleh iman dan hidayah Allah swt, manusia yang cukup sempurna menepati tujuan penciptaan manusia di atas muka bumi ini, Contoh yang paling hampir kepada kita ialah Rasulullah saw. Manusia agung yang dihiasi dengan budi pekerti dan akhlaq mulia kerana hatinya yang bersih, disucikan oleh malaikat Jibril dengan kehendak dari Allah swt.

Sebaliknya orang yang mempunyai hati yang rosak, hati yang ditutup oleh Allah swt, hati yang dikuasai oleh hawa nafsu, mendorong kepada dosa dan maksiat, hawa nafsu yang mendorong kepada keseronokan songsang, maka kita lihat manusia ini hidupnya tidak karuan, hidupnya tiada matlamat, tiada ketenangan dalam diri, dan jauh dari itu mereka sentiasa menjadi perosak kepada masyarakat, mereka menjadi duri yang sentiasa menyakiti orang lain, menjadi masalah kepada masyarakat, mereka menjadi racun yang mematikan hati-hati yang baik dan membawa mereka kepada kehinaan, dan yang lebih malang mereka yang mempunyai hati yang rosak ini menjadi tunggangan syaitan yang sentiasa berkerja dan berusaha membawa manusia bersama-sama mereka ke neraka jahannam.

Sebab orang yang hatinya rosak tidak ada hati perut, orang yang hatinya mati tidak ada perasaan belas kasihan, orang yang hatinya sakit ini tidak mengenal halal dan haram dalam kehidupan mereka sebagaimana yang ditunjukkan oleh orang-orang yahudi yang memang telah ditutup hatinya dari pertunjuk dan hidayah Allah swt, nauzubillahi min zalik .

Orang-orang yang hatinya sudah rosak tidak merasa bersalah apabila mereka mencuri, merompak, menyamun, menipu, rasuah, salahguna kuasa, kerana hawa nafsu sudah menguasai mereka.

Begitulah besarnya peranan hati dalam kehidupan manusia. Oleh itu marilah sama-sama kita mengenali diri kita dan perbaiki diri kita supaya dengan hati yang baik keita menjadi manusia yang baik seterusnya dapat memberi manfaat kepada orang lain. Rasulullah saw bersabda;

خير الناس أنفعهم للناس

Maksudnya ; Sebaik-baik manusia ialah manusia yang paling berguna kepada orang lain.

Hati Yang Mati

Hati yang sudah mati ialah hati tidak berfungsi sebagaimana fitrahnya hati itu dijadikan. Fitrah kejadian hati ialah untuk menerima aqidah dan keimanan kepada Allah swt. Hati yang mati telah ditutup dan dihijab oleh Allah swt daripada menerima iman dan hidayah Allah swt. Hati diselubungi dan dikuasai oleh hawa nafsu syaitaniah yang sentiasa mendorong manusia untuk melakukan dosa, maksiat dan kejahatan.

Apabila hati sudah tidak berfungsi, maka hawa nafsulah yang menerajui kekuasaan hati, Justeru kehidupan mereka bergelomang dengan dosa dan maksiat. Kehidupan mereka penuh dengan kesombongan dan ketakabburan. Kehidupan mereka tiada panduan, apa yang mereka lakukan berdasarkan kepada perasaan. Mereka berada dalam kesesatan dan kedurjanaan sedangkan mereka tidak menyedari kesesatan dan kedurjanaan yang mereka lakukan disebabkan hati mereka sudah mati dan tertutup.

Firman Allah swt;

الَّذِينَ يُجَادِلُونَ فِي آَيَاتِ اللَّهِ بِغَيْرِ سُلْطَانٍ أَتَاهُمْ كَبُرَ مَقْتًا عِنْدَ اللَّهِ وَعِنْدَ الَّذِينَ آَمَنُوا كَذَلِكَ يَطْبَعُ اللَّهُ عَلَى كُلِّ قَلْبِ مُتَكَبِّرٍ جَبَّارٍ (35)) [غافر:

Maksudnya; Dan orang-orang yang menyanggah ayat-ayat Allah tanpa mendatangkan bukti, kemurkaan amat amat besar disisi Allah swt dan orang-orang yang beriman. Begitulah Alllah menutup hati yang sombong dan takabbur.

Ciri-ciri hati yang mati.

Orang yang hatinya mati ialah orang yang tidak menerima iman dan hidayah Allah swt. Itulah orang-orang kafir dan musyrik yang dimurkai Allah swt. Justeru antara sifat-sifat orang yang hatinya telah mati ialah seperti berikut;

1. Menolak keimanan kepada Allah swt dan Rasulnya serta perkara-perkara yang wajib diimani sebagai orang Islam.
2. Menyekutukan Allah swt .
3. Menolak ajaran Islam dan memilih kekufuran.
4. Tidak ada perasaan rasa bersalah apabila melakukan dosa dan maksiat.
5. Menjadikan akal dan fikiran dan logik semata-mata dalam membuat penilaian dan keputusan.
6. Menjadikan dunia sebagai matlamat hidup mereka.
7. Tidak mempercayai dosa dan pahala serta kehidupan alam akhirat.
8. Sentiasa melakukan penindasan dan kezaliman di atas muka bumi.
9. Tidak mengenal halal dan haram dalam kehidupan mereka.

Ya Allah ya Tuhan kami, lindungilah kami dari hati yang mati, hati yang tidak mengenaliMu ya Allah, hati yang jauh dari hidayahMu ya Allah.

Hati Yang Sakit

Hati yang sakit mengakibatkan pandangan dan tanggapan hati terhadap sesuatu tidak betul. Hati yang sakit menyebabkan kebenaran tidak dapat dilihat walaupun ianya merupakan satu kebenaran, hati yang sakit melihat kebatilan sebagai satu kebenaran, atau ia melemahkan pemahamannya terhadap sesuatu kebenaran lalu mematikan hatinya untuk menerima kebenaran.

Hati yang sakit menyebabkan hati membenci kebenaran yang memberi kebaikan kepadanya. Hati yang sakit menyukai kebatilan sedangkan kebatilan itu akan memudaratkannya. Hati yang sakit juga tidak tahu memilih antara kebenaran dan kebatilan, akhir cenderung kepada kebatilan kerana mengikut hati dan perasaan.

Justeru orang yang hatinya sakit sukar untuk melihat kebenaran sebagai kebenaran dan kebatilan sebagai kebatilan. Apabila melihat sesuatu dia akan melihat manusia yang melakukan atau kejadian semulajadi, lupa bahawa Allah swt yang sebenarnya menjadikan tiap sesuatu. Apabila ditimpa bala dan bencana, mereka melihat manusia yang menyebabkan bala bencana tetapi mereka tidak nampak ia merupakan qada' dan qadar dari ilahi.

Berbeza dengan orang yang hatinya sihat dengan cahaya keimana, mereka melihat semua perkara ada hikmahnya dan ditentukan oleh Allah swt, pasrah dan redha menjadi hiasan hati, kehidupan yang bahagia sentiasi dimiliki.

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم عجبا لأمر المؤمن إن أمره كله خير إن أصابته سراء شكر فكان خيرا له وإن أصابته ضراء صبر وكان خيرا له وليس ذلك لأحد إلا للمؤمن

Maksudnya; Sungguh menghairankan urusan orang beriman, Semua urusannya baik, apabila mendapat nikmat kesenangan, ia bersyukur, maka baiklah baginya dan apabila ditimpa kesusahan, ia bersabar maka baik jugalah baginya. Dan sifat tersebut tidak ada melainkan bagi orang yang beriman.

Kebiasaannya orang yang hatinya sakit tidak merasa tenang, tidak merasa bahagia walaupun dikelilingi berbagai nikmat dan kemewahan, hatinya sentiasa gelisah dan keluh kesah dalam menghadapi kerenah kehidupan, kebiasaannya membuat sesuatu diluar dari kewajaran dan rasional. Hatinya penuh dengan macam-macam penyakit hati menyebabkan sakitnya bertambah parah.

Sebab-sebab hati sakit;

1.Lupakan Allah, lupa dari mengingati Allah, lupa bahawa Allah tidak alpa dari apa yang dilakukan oleh manusia, lupa bahawa Allah lah yang menentukan segalanya, lupakan Allah kerana kurang mengingati Allah, dan hati lebih terikat kepada perkara-perkara yang disukai selain Allah.
2.Lupakan perintah-perintah Allah kerana tidak suka kepadanya, mengutamakan keseronokan dan hatinya sentiasa terikat dengan dorongan nafsu syaitan.
3.Lupakan hari kiamat, tidak mengingati mati, kurang mengingati dosa dan pahala, kurang mengingati hari pembalasan, syurga dan neraka

Apabila ketiga-tiga sebab tadi terangkum dalam hati manusia maka beratlah untuk melakukan ibadah, sebaliknya ringan pula untuk melakukan dosa dan maksiat, mengutamakan urusan dunia dan meninggalkan urusan berkaitan akhirat, mendahulukan keinginan nafsu dan mengambil ringan perintah Allah, melampaui batasan-batasan agama, menjadi orang yang zalim dan mendahulukan keinginan diri dari kehendak Allah

Perkara-perkara yang boleh merosakkan hati;

1.Jahil agama.
2.Pergaulan dengan orang-orang yang hatinya sudah rosak, hatinya mati dan menjadikan mereka sebagai teman.
3.Suka berangan-angan dan berkhayal tentang sesuatu yang tak kan dapat dicapai.
4.Bergantung dengan selain daripada Allah swt.
5.Banyak makan dan sentiasa memikirkan tentang makanan, tidak menghiraukan halal haram dalam urusan makanan.
6.Banyak tidur, orang yang banyak tidur mensia-siakan masa, pelupa dan pemalas

Penyakit-Penyakit Hati

Hati yang sihat, tidak berpenyakit akan memancarkan sinar kebahagiaan pada dirinya, Kerana itulah kita melihat orang yang hatinya sihat akan sentiasa tenang, bahagia, ceria tidak stres, sebagaimana orang yang tubuhnya sihat akan sentiasa gembira, aktif dan bahagia. Itulah yang diinginkan oleh setiap manusia.

Firman Allah swt;


الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُمْ بِذِكْرِ اللَّهِ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Maksudnya; Orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, Hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram. (al-Ra'd:28)

Sabda Rasulullah saw;

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم عجبا لأمر المؤمن إن أمره كله خير إن أصابته سراء شكر فكان خيرا له وإن أصابته ضراء صبر وكان خيرا له وليس ذلك لأحد إلا للمؤمن.

Maksudnya; Sungguh menghairankan urusan orang beriman, Semua urusanya baik, apabila mendapat nikmat kesenengan, ia bersyukur, maka baiklah baginya dan apabila ditimpa kesusahan, ia bersabar maka baik jugalah baginya. Dan sifat tersebut tidak ada melainkan bagi orang yang beriman.



Sebaliknya orang yang hatinya sakit, hatinya sentiasa gelisah dan keluh kesah dalam menghadapi kerenah kehidupan, hidupnya tidak pernah bahagia bahkan sentiasa stres dan tertekan. Keadaan ini disebabkan penyakit yang ada dalam hati mereka.


Penyakit hati ialah sifat-sifat mazmumah yang ada dalam hati rohani manusia. Kita mesti bermujahadah untuk melawan sifat-sifat mazmumah, (penyakit hati yang dihidupkan oleh nafsu) setiap kali ia menyerang kita. Penyakit dalam hati Rohani boleh dibahagikan kepada dua bahagian;

1. Penyakit hati terhadap Allah.
2. Penyakit hati terhadap manusia.

Antara penyakit hati terhadap Allah

1. Lalai dalam beribadah
2. Lalai dari mengingati Allah
3. Ragu-ragu terhadap dengan Allah
4. Tidak ikhlas dengan Allah
5. Tidak takut pada ancaman Allah
6. Tidak harap pada rahmat Allah
7. Tidak redha akan takdir Allah
8. Tidak puas dengan pemberian Allah
9. Tidak sabar atas ujian Allah
10.Tidak syukur atas nikmat Allah
11.Tidak terasa diawasi Allah
12.Tidak terasa hebatnya Allah
13.Tidak rindu dan cinta dengan Allah
14.Tidak tawakal pada Allah
15.Tidak rindu pada syurga dan tidak takut pada neraka
16.Cintakan dunia.
17.Penakut (takut pada selain Allah)
18.Ujub
19.Riak
20.Sukakan pujian dan kemasyhuran

Antara penyakit hati terhadap manusia

1. Benci membenci
2. Gembira atas kesusahan orang lain.
3. Dukacita atas kejayaan orang lain.
4. Harap keburukan terhadap orang lain.
5. Tidak mau minta maaf dan tidak memaafkan orang lain
6. Hasad dengki
7. Dendam
8. Bakhil
9. Buruk sangka
10.Tidak bertolak ansur
11.Tidak bertimbang rasa
12.Rasa Berat Tulang,Tidak tolong-menolong
13.Tamak
14.Degil dan keras hati
15.Mementingkan diri sendiri
16.Sombong
17.Tidak sabar dengan ragam manusia
18.Memandang hina kepada seseorang
19.Riak
20.Ujub
21.Rasa diri bersih dan suci.